Semalam semasa saya tiba di rumah petang semalam, Zia tengah didukung oleh pembantu rumah kami. Muka Zia yang tersangat monyok buat saya bertanya kepada pembantu rumah dan dia berkata kaki Zia luka. Bila saya menoleh kepala kepada luka dikaki nya, secara automatik Zia menangis sambil mengangkat kakinya menunjuk ke arah saya. Terdapat luka di jari kaki kanan dia dan nampak seperti baru sahaja kena sebab darahnya masih basah.
Kemudian saya pun mendukung Zia dan bertanya kepada penduduk rumah dengan lebih lanjut, rupanya tiada sesiapa yang tahu apa yang terjadi dan tiada sesiapa yang perasan bila ia terjadi. Zaida (isteri saya) hanya perasan luka dikaki Zia semasa Zia bangun daripada tidur dan saat itu jugak Zia mula menangis. Oleh itu tidak tahu bila berlaku dan bagaimana ia berlaku. Semasa saya bertanya kepada Zia kenapa dia berdarah, dia hanya menunjuk kearah troli mainan yang dibeli oleh mak saudaranya dahulu. Troli itu telah pun patah rodanya dan pada pendapat saya mungkin kakinya terkena baki roda yang ada pada troli tersebut. Mengikut cerita ibu mertua saya pula, Zia mula meragam dari pagi lagi dan pada fikiran saya mungkin luka itu dia telah kena pada pagi hari lagi tetapi disebabkan tiada sesiapa yang menegur mengenainya maka Zia hanya berdiam diri dan hanya akan menagis apabila terasa sakit.
Maka sepanjang malam tadi, Zia sentiasa berada dipelukan saya kerana kaki dia akan berdarah kembali setiap kali dia bergerak atau berjalan.
Malam apabila dia sudah tidur, saya pakaikan ubat di lukanya dan pakaikan stokin agar lukanya tidak bergesel dengan barang lain semasa tidur. Pagi ini juga sebelum bergerak ke tempat kerja, sekali lagi saya letakkan ubat di kaki dia.
Zia semenjak dua menjak ini memang tidak boleh duduk diam dan ada sahaja komplen yang saya dengar mengenai kenakalannya. Dan kerana kenakalannya itu juga kadang-kadang kala membuat dia cedera. Seperti minggu lepas apabila jarinya tersepit di pintu semasa menemani pembantu rumah mengemas bilik di tingkat atas. Di muka dia sahaja pun sudah pelbagai calar yang terhasil akibat kenakalannya.
Itulah Nur Zia Zaara yang pada pendapat saya tengah emosi sedikit buat sementara ini kerana mendapat adik baru.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan