Idea perjalanan ni sebenarnya dah saya usulkan kepada rakan-rakan saya lama dahulu ketika Euro R saya masih mengganas. Tetapi tidak mendapat sambutan yang menggalakkan. Kemudian, saya telah menukar kereta kepada CRV yang gemuk lalu mengusulkan sekali lagi kepada rakan-rakan, tetapi masih tiada jawapan. Maka saya pun membuat pilihan untuk menjelajah bersendirian dahulu.
Sebenarnya saya tidak terfikir pun untuk pergi pada hujung minggu yang lepas, ini kerana beberapa perkara yang perlu dilakukan dirumah disamping perlu menjaga Zia. Kemudian pada hari ahad sekitar jam sepuluh pagi, ketika saya mati akal tiada perkara untuk dibuat dan Zia pula meragam untuk mengajak saya keluar rumah. Maka saya pun dengan membawa sebotol air masak Zia, keluar dari rumah bersama Co-pilot terbaik, Zia Zaara.
Pada fikiran awal, ingin berpusing sekitar air terjun yang banyak di Hulu Langat, tetapi apabila tiba di pekan Batu 15, saya menukar fikiran kerana di persimpangan di pekan batu 15 inilah adanya simpang untuk ke empangan semenyih. Maka saya pun cuba nasib untuk ke empangan itu mana la tahu jikalau ianya dekat. Dan percubaan saya tidak salah apabila setelah masuk ke simpang itu, batu penanda jarak menunjukkan Semenyih adalah lebih kurang 30 km dari persimpangan itu. Ini bermaksud empangan itu berada kurang lagi daripada 30km. Dan perjalanan kami pun diteruskan.
Jalan yang bengkang bengkok. Memang sesuai jika menaiki basikal, motorsikal besar dan kereta berprestasi tinggi.
Permulaan perjalanan kami ditemani dengan jalan yang berbengkang bengkok dan hutan belantara di kiri kanan jalan. Sekali sekala pemandangan yang indah dikotori dengan sampah sarap di tepi jalan yang dibuang oleh masyarakat yang ‘bijak'. Risau jugak perasaan di kala ini kerana Zia sedang memakan biskut dengan jalan yang begitu, silap-silap karang ada jugak yang muntah. Tapi perjalanan itu tidak lama kerana selepas beberapa selekoh yang hebat, kami tiba di suatu simpang tiga. Saya yang tidak pasti arah empangan semenyih ini mengambil laluan ke kanan menuju ke pekan semenyih dan Kajang (laluan ke kiri menuju ke Pekan batu 18 Hulu Langat dan Kuala Klawang). Pilihan saya tidak silap kerana beberapa ketika kemudian pemandangan sebuah tasik yang indah menghiasi kiri jalan. Saya terus berhenti dan beberapa gambar diambil.
Disebabkan takut ia menerjah masuk dalam kereta, sebab Zia pun tengah pegang biskut. Selepas bergambar dengan sang monyet, kami meneruskan perjalanan ke arah empangan. Tapi sayang sekali kawasan empangan adalah kawasan larangan untuk dimasuki. Ingatkan sama macam kat Jepun dimana kawasan empangan dijadikan kawasan perlancongan, rupanya di Malaysia ni kawasan empangan adalah kawasan larangan.
Kawasan berpagar itu adalah kawasan empangan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan